Pages

Sunday, November 01, 2009

MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN

Kehidupan seharian di pejabat/organisasi/tempat kerja sentiasa dibebani dengan pelbagai tugasan dan kerja yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Ada tugasan yang penting dan perlu diselesaikan dengan segera, dan ada juga tugasan yang penting tetapi tidak perlu disegerakan pelaksanaannya. Apa jua tugasan sekalipun, sebagai warga organisasi yang berdedikasi haruslah melaksanakannya dengan cara yang betul dan tepat pada waktunya.
Pelaksanaan sebarang tugas di pejabat perlulah dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan beretika. Tugasan yang diamanahkan kepada kita seharusnya dielakkan daripada tergendala atau sengaja memperlewatkan kerja tersebut. Ianya juga perlu dilaksanakan dengan tatacara yang betul dan tepat. Melaksanakan tugas dengan beretika membawa maksud melaksanakannya mengikut prosedur dan spesifikasi yang digariskan tanpa ada unsur penipuan dan sebagainya. Misalnya, kita ditugaskan untuk menyelesaikan kerja percetakan dan kemudiannya untuk diedarkan kepada semua pekerja. Kerja tersebut mengkehendakkan kita mendahulukan sejumlah wang dari poket kita sendiri dengan jaminan kita akan dibayar balik dengan kadar tersebut. Apabila diminta untuk membuat tuntutan wang yang didahulukan, maka kita menuntut wang melebihi kadar yang digunakan.
Tuntutan tersebut merupakan satu amalan yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Ianya merupakan perbuatan mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Keadaan tersebut juga melanggar etika Islam. Dalam semua urusan, Islam menggariskan etika-etika yang perlu diaplikasikan agar budaya negatif tidak wujud dalam pengurusan. Islam menyuruh kita melakukan tugasan dengan rasa amanah dan tanggungjawab. Islam melarang sekeras-kerasnya amalan khianat dan tidak bertanggungjawab. Kita hanya dibolehkan mengambil sesuatu hak pada kadar yang dibenarkan kepada kita. Kita sama sekali dilarang untuk mengambil bukan daripada hak kita. Gambaran yang jelas diberikan berkenaan sesuatu yang diambil bukan daripada hak kita bakal menerima balasan setimpal. Ini dijelaskan dengan satu hadith Rasulullah SAW yang menerangkan sesuatu yang haram (disisi Islam) masuk ke dalam tubuh kita, dan dengan makanan atau minuman atau sumber tersebut maka terhasillah daging daripadanya, daging tersebut hanya layak dijamahi oleh api neraka.
Moga-moga dengan keterangan hadith tersebut akan menjadikan kita lebih beretika dalam melaksanakan tugas. Kesedaran dan keyakinan terhadap kepentingan hidup beretika dalam kerjaya ini bakal membuahkan hasil yang positif bagi organisasi, dan individu.

0 komen:

Post a Comment